Sebuah cerpen pencarian seorang lelaki yang ingin mencari calon isteri yang berakhir dengan satu warkah cinta yang amat menyentuh hati dan perasaan. “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Kerja, kerja, dan kerja. Aku bosan dengan semua ini.”, getus hati kecil Izhar yang merasakan hidupnya sekarang sunyi dan sepi. Izhar merupakan seorang peguam di mahkamah syariah dan bertugas sebagai seorang pendakwa raya.
”Hari-hari berhadapan dengan kes-kes penceraian, khalwat”,
bagaikan tertekan dengan kesibukan kerjayanya sehingga diri sendiri
seakan tidak terurus. “Hidup bersahabat memang berbeza dengan hidup
berteman”, tiba-tiba sahaja tersentuh hati Izhar untuk mencari pasangan
setelah sekian lama dia hidup bersendirian.
Dengan ini, bermulalah kisah si Ustaz
dalam mencari pasangan hidupnya. Dengan langkahnya pertama, usaha Izhar
telah bertemu dengan seorang gadis. Namanya Alfatunnisa’. Cantikkan
namanya, begitulah juga parasnya, secantik namanya. Gadis ini adalah
rakan sekampus kawan Izhar semasa menuntut di Jepun dahulu.
Alfatunnisa’ adalah anak orang ternama,
anak Tan Sri Ahmad. Gugup juga Izhar apabila hendak berhadapan dengan
Tan Sri. Tetapi itu dulu, sebelum Izhar kenal dengan Tan Sri. Sekarang
hubungan mereka nampaknya sudah rapat seperti saudara sendiri. Mungkin
itulah yang dikatakan jodoh. Sebenarnya perkenalan dengan gadis ni
bukanlah lama, sekejap saja. Mereka memang merancang untuk mendirikan
rumahtangga bersama namun semakin lama dikenali, gadis itu seakan sudah
banyak berubah.
”Mungkin ini bukan jodohku, aku tak
tahu erti cinta. Adakah aku tertarik padanya ataupun pada hartanya.
Nauzubillah, ya Allah, selamatkan diriku daripada godaan syaitan”, hati Izhar berbisik dan berdoa sendirian.
Pada langkah pertama, Izhar gagal
menemui cinta hatinya. Pencarian Izhar tidak berakhir hanya di situ.
Akhirnya semasa menguruskan kes anak guamannya, Izhar tertarik pula
dengan anak kepada anak guamannya. Surina namanya, berasal daripada
keluarga yang sederhana, Orangnya bijak bekata-kata. Akhirnya Izhar
terpancing jua. Sesungguhnya Allah mengetahui segala-galanya.
Pada suatu hari, Izhar terserempak
dengan Surina di salah satu pasar raya berdekatan bersama seorang
jejaka, mesra sekali lagak mereka. Setelah disiasat, sungguh tidak
disangka-sangka bahawa Surina yang sangat petah dan bijak berkata-kata
selama ni sanggup berdusta dan mengambil kesempatan. Surina sebenarnya
bekerja di kelab malam.
”Astaghfirullahal azim..
Alhamdulilah, aku bersyukur padamu ya Rabbi, Engkau menyelamatkanku
daripada segala bencana, sekiranya aku berkahwin dengan keturunan
seperti ini, amatlah pedih untuk aku melalui sisa-sisa hidup ini”, syukur Izhar atas segala petunjuk daripadaNya.
Setelah kecewa dengan gelagat cinta yang
baru ditemui itu, Izhar sepertinya sudah putus harapan. Bagi Izhar,
biarlah masa yang menentukan kerana dia yakin akan ketentuan Allah.
Bulan silih berganti, hari demi hari,
putaran jam meninggalkan masa-masa yang lalu. Izhar semakin sibuk dengan
menguruskan firmanya. Suatu hari, Izhar menghadiri mesyuarat untuk satu
program yang disertainya, program “Selamatkan Jiwa”. Mesyuarat pada
hari itu pula melibatkan seluruh mahkamah syari’ah di kawasan tersebut.
Dalam kalangan ahli jawatankuasa yang datang, Izhar terpandang ke arah
seorang wanita yang dirasakan amat berbeza dengan wanita-wanita lain.
Sangat pendiam orangnya.
Diam-diam ubi berisi, namun apabila
melontarkan idea, cukup bernas! Memang cantik orangnya. Sopan dan
berjubah adalah penampilan yang dipilih. Tidak hairanlah kerana gadis
ini merupakan alumni Universiti Al-Azhar, dan ayahnya adalah imam di
kampungnya. Izhar akhirnya mengambil kata putus untuk menulis sepucuk
surat untuk menyatakan isi hatinya.
Salam perkenalan buat saudari Sa’adatul Sakinah…Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, saya meminta izin daripada saudari untuk mengenali dengan lebih dekat lagi. Saya amat tertarik dengan saudari, pandangan mata yang penuh keihklasan melontarkan idea-idea yang bernas untuk melakukan kebajikan di jalan Allah. Mungkin Allah telah mempertemukan kita, dalam situasi yang sama.Dirimu yang sempurna, memperjuangkan kalimah suci Allah membuatkan saya tertarik dengan saudari. Tidak sepertimana perempuan-perempuan di luar sana yang pernah saya kenali. Andainya diri tidak berpunya, izinkan saya untuk melamar awak sebagai isteri saya yang sah.Ikhlas, Izhar…
Warkah Izhar kemudian disambut dengan sebuah nota..
Wassalam saudaraku Muhd Izhar…Buat saudara yang baru ku kenali, sesungguhnya pertemuan dan perpisahan adalah milik Allah, Dialah yang berhak mengaturkan segalanya. Sudi-sudikanlah menghayati nota-nota yang ku tulis buatmu…Wahai saudaraku.. Cinta pertama mengukir peristiwa, menguggat pelbagai perkara. Ketahuilah saudara, jangan mempercayai pada pandangan mata, ia hanya pandangan syaitan durjana. Usah memujiku lebih darinya, kiranya diri ini masih kurang seadanya, idea hanyalah pandangan manusia, belum tentu betul pada pandangan yang Esa. Sempurnaku tak sempurna Nabiku, kerana aku hanya manusia biasa, dan ketahuilah sahabat, manusia tidak akan pernah sempurna.Wahai saudaraku.. Janganlah kau membanding-bandingkan diriku dengan insan lain, sesungguhnya Allah tidak menyukai hambaNya mempersoal mengenai keburukan mereka. Kiranya engkau membenci kemaksiatan, tugasmu adalah membawa mereka berhijrah dan tidak sesekali berhujah untuk menyemarakkan lagi hati mereka.Kiranya aku jatuh cinta padamu, itu kerana aku jatuh cinta pada kesederhanaanmu, dan kiranya aku membenci dirimu, tidak bermakna aku membenci dirimu, tetapi aku membenci egomu. Ingatlah wahai Adam, manusia adalah sama, hiris tangan, pastinya darah yang mengalir adalah merah. Hanya Allah yang dapat membezakan hambanya, dan kita sebagai hamba tidak layak untuk membuat penilaian.Andainya kamu mencintaiku kerana Allah yang maha Pencipta, sesungguhnya aku belum berpunya, diriku hanyalah untuk Dia. Aku menerima lamaranmu dengan hati yang terbuka, Kiranya ini menambahkan ketaqwaanku padaNya. Inilah nota-nota cintaku buatmu lelaki yang akan bergelar suami..
“Astaghfirullahal ’azim…
Astaghfirullahal ‘azim… Astaghfirullahal ‘azim… Ampunkan dosaku ya
Allah. Sesungguhnya selama ini aku telah tewas dalam permainan cinta.
Terlampau mengejar cinta, aku telah melakukan dosa pada mereka.
Sesungguhnya diriku kerdil di hadapanMu ya Rabbi. Aku sememangnya tidak
layak untuk menghukum manusia, sesungguhnya aku seorang hamba seperti
mereka”, doa Izhar selepas menunaikan solat tahajjudnya.
Izhar kini bersyukur kerana telah
dikurniakan oleh Allah seorang isteri yang solehah, mampu memandu
hidupnya dan saling melengkapi dan memperbaiki dalam kesilapan
masing-masing. Dia tersedar akan kesilapannya terhadap Surina dan
Alfatunnisa yang gagal menemukan mereka kepada kebenaran. Yakinlah
bahawa sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah dan masanya pasti akan tiba.
sumber: http://melayukini.net/2011/10/soal-hati-warkah-cinta-untuk-bakal-suami-yang-mencari/
1 comments:
^_^
Alhamdulillah...
Hidangan ilmu yang bermanfaat.
Post a Comment