Ombak berdesir tenang, putih buihnya sampai ke sisir pantai.
Burung-burung camar riang berterbangan di atas sana, mungkin sibuk
mencari secicip rezeki buat anak-anak di sarangan. Awan pula berarak
tenang, cantik susunan Tuhan. Langi-langit biru yang terbentang indah
mendamaikan hati aku saat ini.
Aku menoleh ke kiri, terlihat pohonan nyiur melambai-lambai,
buah-buah kelapa comel bergolek-golek di sekelilingnya. Gerai-gerai yang
ada di tepian jalan mula dibuka, pak cik yang menjual aiskrim sibuk ke
sana ke mari membunyikan hon di tangan kiri. Kanak-kanak di sekitarnya
sibuk pula menahan untuk membeli.
Dari jauh aku dapat melihat pak cik aiskrim itu meleret senyum.
Mungkin terusik dengan keletah anak-anak kecil yang berebut-rebut
memesan ais bewarna warni itu. Teringat kisah dulu-dulu, aku dan abang
suka beli aiskrim yang dijual di motor, macam pakcik itu.
Tiba sahaja hari minggu, setia kami menunggu pak cik aiskrim datang.
Apabila bunyi hon yang menjerit-jerit dari jauh kedengaran. Ketika itu
sibuk kami mencari emak, meminta selipat duit untuk memenuhi permintaan
kami adik beradik.
Aku dan abang selalu bergaduh, mak hanya berikan seringgit. Tak
cukup, aku mahukan aiskrim berharga enam puluh sen manakala abang pula
mahukan yang lima puluh sen. Masih lagi kurang sepuluh sen.
Abang tetap tidak mahu mengalah. Akhirnya hanya aiskrim berharga lima
puluh sen juga yang aku dapat. Terlepas aiskrim impian. Setiap kali pun
begitulah. Ada suatu ketika, aku merajuk betul dengan abang, diam dari
pagi sampai ke petang. Diusiknya pun aku tidak pedulikan. Sedaya upaya
dia memujuk, semua sia-sia. Sudah puas memujuk, abang pergi, bawa diri
ke rumah Mak Cik Hasanah.
Abang main sorang-sorang. Ada kertas di tangan kanan, pensel pula di
tangan kiri, abang kidal. Kemudian abang ikut suami Mak Cik Hasanah, Pak
Cik Lutfi ke gerai jual goreng pisang. Sebelum itu abang minta izin
dengan emak. Ceria mukanya apabila emak benarkan dia pergi.
Aku mencebik geram, apa yang abang buat semuanya boleh. Emak kata aku
ni perempuan, jadi baik tolong saja mak di dapur. Sejak kecil aku
diajarkan emak untuk menjejak ke dapur, segala jenis perkara aku
lakukan, daripada mencuci periuk, mengelap lantai, susun atur barang
sampaila ke isi dalam periuk.
Natijahnya sekarang, macam-macam aku pandai masak, betul didikan emak, baru aku faham.
Didikan itu bermula dari rumah, didikan itu bukan ambil masa seminit
dua, bukan juga sebulan dua. Anak-anak perlu diajar sejak ia mula
mengenal dunia lagi, barulah akan menjadi sebati. Asuhan itu insyaAllah
kekal sampai ke mati kalau betul matlamat dan cita-cita yang diingini.
Selepas abang diizin oleh emak. Abang datang dekat dengan aku. Abang
senyum. Kata abang, dia nak bagi sesuatu. Kertas di tangan kanannya
dihulurkan cermat. Tapi tiada sambutan yang aku hulur, rajuk aku masih
bersisa. Tidak tahu kenapa hari rajukku lama dengan dia. Abang diam.
Dia letak kertas putih itu di atas meja sebelah aku. Lipatannya dua,
sederhana sahaja saiznya. Setelah itu abang pergi dengan Pak Cik Lutfi.
Seiring dengan kepergian bunyi motor, emak panggil untuk aku menolongnya
melipat baju.
Hari itu hari pertama emak ajar aku lipat baju. Kemas lipatan emak,
cantik emak susun di rak pakaian. Patutlah abah sayang dengan emak,
pandai masak, rajin. Bila abah balik mesti mak dah siap sedia dengan
pakaian cantiknya di muka pintu. Muka emak berseri-seri sambut
kepulangan abah.
Emak salam tangan abah, kemudian pimpinnya duduk di kerusi. Abah
memang manja dengan emak. Di sisi kanan mesti mak dan siap sediakan air
untuk abah, kegemaran abah air suam saja. Jaga kesihatan katanya.
Patutla abah sayang emak. Aku nak jadi macam tu, mak bidadari abah
dan bidadari kami adik beradik. Mak tak pernah tengking kami, bila kami
buat salah kami tak pernah didenda bahkan kami dididik dengan hemat.
Kami diberi penjelasan kenapa perbuatan kami itu salah dengan itu baru
aku boleh kenal apa salah dah aku buat, dan yang mana yang sebetulnya.
Abah dan mak memang ada seni dalam mendidik, seni yang ditiru
daripada ajaran Rasul yang mulia. Tidak menghukum apabila salah, namun
jalan penyelesaian yang disua mereka agar yang salah masih boleh
diperbetulkan dan bukan dibuang sahaja ke tepi tidak dipeduli. Dihukum
hanya kerana tidak memahami erti tanpa memberi penjelasan yang pasti
buruk padahnya, takut ada yang makan hati. Oleh itu, perlu pandai
menjaga hati.
Abah romantik orangnya. Pernah aku ternampak abah menulis sesuatu
pada emak. Surat yang abah tulis itu abah letak di laci dapur. Laci yang
emak selalu buka hari-hari, kadang-kadang abah letak di atas peti,
kadang-kadang pula di bawah gelas atas meja tepi kerusi.
Pernah aku curi-curi baca. Rasa nak tahu apa yang emak akan baca.
Bila aku buka surat itu, abah puji emak. Abah kata emak cantik, abah
berterima kasih sebab abah ada emak kat sisi dia. Ada satu masa tu abah
selitkan satu resepi di sisi almari dapur.
Bila emak terjumpa emak senyum, emak tahu itulah tandanya abah minta
emak buatkan resepi itu. Emak pun romantis juga, bila siap sediakan
pakaian untuk abah pergi kerja, emak akan masukkan nota-nota cinta buat
abah, kadang di poket baju kadang pula di kocek seluar. Comel telatah
mereka, bahagia.
Hari itu selepas melipat baju, aku ke halaman rumah. Terasa sunyi
bila abang tak ada. Baru rasa abang tu penting. Masa aku dan emak lipat
baju tadi, sempat emak bercerita, kisah satu keluarga. Kesimpulan
daripada cerita itu emak kata ikatan antara adik beradik takkan putus,
ibarat air, dicincang tetap tidak akan putus jua.
Jadi, bila salah seorang buat salah, salah seorang perlu memaafkan
agar pergaduhan tak berlanjutan. Maafkanlah agar kita senang untuk
dimaafkan orang lain. Maafkanlah agar hubungan tak lari, tetap kekal
berseri. Daripada pengajaran cerita itu aku tahu, aku tak boleh merajuk
lama-lama dengan abang. Kejap lagi bila abang balik aku nak minta maaf
dengan abang.
Sambil melihat ikan-ikan di kolam kecil hadapan aku. Aku ternampak
semut-semut kecil berderet-deret beratur menuruni batu-batu kecil di
sekeliling kolam. Aku tengok dekat-dekat, ada sesuatu yang mereka bawa.
Rajinnya semut-semut ni aku berbisik-bisik dalam hati, teringat dengan
ustazah di sekolah, ustazah pernah cerita kisah semut-semut yang rajin.
Ustazah kata, kita mesti jadi rajin macam semut. Semut-semut ni gigih
berusaha, walaupun mereka kecil tapi semangat mereka besar. Contohilah
mereka, jangan kita malas berusaha, nanti malu dengan ciptaan Tuhan itu,
kita ini makhluk manusia yang ada akal dan fikiran jadi kita perlu
lebih rajin lagi daripada mereka.
Sedang aku asyik melihat aksi semut-semut itu. Satu kereta ada di
hadapan pagar rumah, teksi warna biru. Aku panggil emak. Emak datang
dengan cepat, mata emak berair, ada jatuhan mutiara sudah melekat di
pipi mulus emak. Aku tengok saja, tak faham.
Emak pimpin tangan aku masuk ke dalam kereta itu, emak tak
henti-henti menangis, sampai di suatu tempat, kereta yang kami naiki
berhenti. Kami masuk ke dalam bangunan bercat putih yang tersergam kukuh
di depan.
Sampai di wad kecemasan, seseorang datang dekati kami. Dia berkaca
mata dan berkot putih. Tanpa sebutir bicara, dia hanya menggelengkan
kepala, abah datang dari arah belakang, emak pengsan di situ juga.
Keadaan itu membuatkan aku pelik, suasananya muram dan emak pula
terbaring lesu.
Ketika itu juga, satu sorongan keluar dari bilik kecil di hadapan
kami. Mata aku tertancap pada sekujur tubuh.. mulut aku terluncur hanya
satu kata..
"Abang..."
*****
"Akak nape nangis, nak eskem?" Lamunan aku dikejutkan satu suara.
Ada adik kecil comel bertudung litup di sisi aku, disua aiskrim yang
ada di tangannya kepada ku. Mungkin cuba untuk memujuk. Aku senyum,
mengusap-usap pipi mulusnya.
Satu nama kedengaran dipanggil, dia kemudiannya berpaling ke belakang
mungkin namanya dipanggil ahli keluarga. Berlari-lari dia tuju kepada
seorang lelaki dan seorang perempuan muda di sisir pantai. Comel sekali
lariannya.
Aku memandang lautan yang terbentang luas di hadapan, seluas itu
jugalah rindu aku pada abang. Abang pergi pada hari itu kerana dirempuh
kereta di warung pisang goreng Pak Cik Lutfi. Kata pak cik, abang duduk
seorang diri melukis di meja. Abang memang suka melukis.
Pemandu kereta yang merempuh abang memandu dalam keadaan mengantuk,
seorang pakcik tua yang sudah berusia enam puluhan. Selepas kejadian,
aku menangis teresak-esak.
Melihat kepada lukisan terakhir abang. Abang lukis gambar aku dan dia
bermain wau di pantai ini. Emak dan abah selalu bawa kami ke pantai
petang-petang, aku sukakan wau, jadi mungkin sebab itu abang lukis
gambar wau untuk pujuk aku. Itulah lukisan abang yang terakhir buat aku.
Pujukan yang aku takkan lupa sampai bila-bila. Di lukisan itu juga
abang ada tulis.
"Adik..abang minta maaf."
Selepas itu jugalah aku jadi pendiam, asyik salahkan diri kerana
merajuk dengan abang. Aku salahkan diri dan aiskrim yang berharga enam
puluh sen. Lama untuk aku terima pemergiaan abang. Dia satu-satunya
abang yang aku ada. Emak tak boleh mengandung lagi kerana ada masalah
kesihatan.
Berbulan-bulan lama untuk aku terima pemergian abang. Kata-kata abah
suatu hari menguatkan hati untuk aku terima semua itu takdir Ilahi.
"Allah lebih menyayangi abang. Itu yang terbaik untuknya. Kita
tak salah sayang, kita hanya sebab untuk mereka pergi kerana hakikatnya
ketentuan sudah tersurat lama. Dialah Yang Esa, Dia jualah yang
menggerakkan hati kita untuk melakukan itu dan ini. Apa yang terjadi
usah ditangisi kerana yang sudah pergi tetap tidak akan kembali. Kita
hanya mampu untuk mendoakan dia di sini.. akhirnya kita juga akan
kembali nanti ke alam sana."
Kata-kata abah buat aku kuat, aku terima takdir-Nya, abang pergi
dalam usianya yang masih muda. Usia sembilan tahun. Sekarang sudah lima
belas tahun abang pergi. Aku rindu pada dia.
Muka aku dongakkan sedikit. Terlihat tali wau ditarik-tarik adik
kecil di tepian pantai. Senyum aku kuntum, moga abang juga dapat
melihatnya sama. Aku bangun, langkah kaki aku tuju untuk mencecah air.
Ombak-ombak kecil masih tenang beralun laju, angin masih lagi kekal
bertiup lembut.
Burung-burung camar tetap girang berterbangan di awanan biru, pohon
nyiur makin mesra melambai-lambaikan juntaiannya, aku di sini juga sama,
tetap rindu pada dirimu. Dan pastinya kenangan itu akan kekal sampai
hujung usia.
"abang.. moga dirimu bahagia selamanya.."
Sumber: http://www.iluvislam.com/karya/cerpen/5013-ais-krim-enam-puluh-sen.html